Tuesday 21 June 2011

Sinopsis Novel Lestari Bukit Menghijau




LESTARI BUKIT MENGHIJAU
(Syed Mahadzir)

Kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai menimbulkan kecurigaan penduduk kampung. Dia dianggap gila kerana membeli bukit yang penuh dengan hutan belantara. Bukit tersebut dianggap tidak berfaedah oleh penduduk kampung. Pak Tua terlalu mencintai alam sekitar sehingga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk kampung. Dia akan menegur sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Hubungan Pak Tua dengan penduduk kampung tidak mesra, dia tersisih kerana sikapnya yang pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mesra.
 Zahiran sebagai pelajar Tingkatan 3 di kampung tersebut berjaya mendekati lelaki misteri ini dalam usaha menjayakan projek sekolah lestari. Projek sekolah lestari telah diilhamkan oleh Cikgu Idham, pengetua baharu di SMK Alor Rambai yang proaktif dalam menceriakan kawasan sekolah. Zahiran dan rakan-rakannya telah ditugaskan untuk mencari beberapa jenis burung dan ikan untuk menghiasi taman sekolah mereka. Projek sekolah lestari ini adalah sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pelajaran yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.
  Hasil usaha Zahiran dan rakan-rakannya, Pak Tua mula diterima oleh penduduk kampung. Hamzah yang diserang demam kuning menjadi titik permulaan kepada usaha gotong-royong bagi membersihkan kawasan rumah Hamzah yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Seluruh kampung turut dibersihkan. Hasil cetusan idea Pak Tua, Tabung Pak Hamid dilancarkan bagi membantu keluarga malang itu. Penyakit untut Pak Hamid berjaya dirawat setelah menjalani pembedahan di Hospital Appolo, Chennai, India.           
Tragedi pokok Bintangor yang terbakar membolehkan Zahiran mencungkil sejarah hidup Pak Tua, iaitu seorang saintis yang pernah tinggal di Chicago, Amerika Syarikat. Isteri Pak Tua, Kamariah dan dua orang anaknya Zahirah dan Zuwairah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kedua-dua orang anaknya meninggal dunia, manakala isterinya menderita penyakit HIV akibat pemindahan darah. Kamariah meninggal dunia sewaktu Pak Tua dan rakan-rakannya telah berjaya dalam usaha mengumpul sampel untuk penawar HIV.  Pokok bintangor spesies calophyllum leanigerum merupakan estrak penting dalam menghasilkan penawar HIV.  Pokok ini banyak terdapat di belantara negeri Sarawak dan Pak Tua telah berusaha menanam pokok bintangor di sekitar Bukit Bintangor. 
  Akhirnya, Pak Tua telah menghembuskan nafas terakhir setelah dia mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.